faq2  hubungi2 maklumbalas2  peta2

Transeksual Menurut Perspektif Perundangan Di Malaysia

Negara kita pernah digemparkan dengan keputusan sebuah kes di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka yang memutuskan bahawa perkahwinan sepasang “suami” dan isteri hendaklah difaraqkan kerana si “suami” merupakan seorang perempuan dan bukannya seorang lelaki. Ini merupakan satu misalan berkaitan isu transeksual yang berlaku di Malaysia. Namun jika dilihat senario “mak nyah” yang banyak berlaku kini, maka ia bolehlah dijadikan sebagai satu misalan yang cukup mudah.Transeksual bolehlah didefinisikan sebagai seseorang yang percaya bahawa dirinya tidak mewakili atau menggambarkan sifat jantinanya yang sebenar. Transvestite ialah orang yang mengamalkan “transvestism” yang ditakrifkan sebagai “the unnatural desire to wear the clothing of opposite sex” atau keinginan memakai pakaian berlainan dengan jantinanya. [Longman Dictionary of Contemporarry English (1978)]. Malah, golongan ini juga cenderung untuk melakukan pembedahan pertukaran jantina.
Perspektif Islam
Jika diperhatikan menurut perspektif Islam, adalah jelas perbuatan transeksual ini ditegah oleh Islam. Ini berdasarkan kepada beberapa petikan ayat al-Quran antaranya yang bermaksud “Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain daripada Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata…” [Surah al-Nisa' ayat 119].

 

Terdapat juga sebuah hadis yang bermaksud “Rasulullah melaknati lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki” [Hadith Riwayat al-Bukhari]. Adalah jelas bahawa berdasarkan dalil-dalil tersebut menunjukkan betapa Islam menolak sekeras-kerasnya amalan transeksual di kalangan umat manusia.

Perspektif Perundangan Di Malaysia

 

Menurut perundangan di Malaysia, status golongan transeksual masih lagi tidak jelas. Jika diperhatikan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan ia menjelaskan berkaitan dengan kesamarataan semua orang di sisi undang-undang dan tidaklah boleh ada perbezaan oleh sebab agama, kaum, keturunan, tempat lahir atau jantina. Peruntukan ini menyebut “jantina” merujuk kepada perbezaan lelaki dan perempuan sahaja manakala golongan transeksual masih wujud ketidakjelasan daripada segi jantina. Ini termasuklah juga golongan khunsa yang tidak disebut secara jelas dalam peruntukan tersebut.

Sehingga kini, tiada satu peruntukan pun di dalam undang-undang yang mentakrifkan “lelaki” dan “perempuan”. Akta Tafsiran 1967, Seksyen 4(2) hanya menyatakan “Mana-mana perkataan dan perbahasan yang ditujukan kepada kaum lelaki termasuklah perempuan”. Walaubagaimanapun, perkataan yang ditujukan khusus kepada perempuan tidaklah pula termasuk dan meliputi lelaki.

Perlu diingat bahawa kebanyakan undang-undang di Malaysia membezakan antara lelaki dan perempuan berdasarkan kepada butir-butir peribadi yang tercatat dalam surat beranak atau kad pengenalan. Sebarang pertukaran nama pada kad pengenalan adalah dibolehkan namun apabila ia melibatkan pertukaran status jantina atau agama, maka ia akan melibatkan soal bidang kuasa perundangan yang perlu diputuskan oleh Mahkamah.

Jika dilihat status golongan transeksual menurut perundangan Islam di Malaysia pula, ternyata ianya merupakan satu kesalahan jenayah Syariah yang boleh dikenakan tindakan di Mahkamah Syariah. Semua negeri di Malaysia mempunyai beberapa peruntukan khusus melibatkan transeksual. Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah -Wilayah Persekutuan 1997 (AKJSWP 1997) misalnya memperuntukkan berkaitan dengan kesalahan lelaki berlagak seperti perempuan (pondan) [Seksyen 28], liwat [Seksyen 25] dan musahaqah (persetubuhan antara perempuan dengan perempuan) [Seksyen 26].

Malah, umat Islam di setiap negeri Malaysia terikat dengan fatwa yang dikeluarkan oleh negeri atau Majlis Fatwa Kebangsaan (sekiranya digazetkan di negeri). Dalam hal ini, pada 1983 telah diputuskan bahawa pembedahan pertukaran jantina adalah haram daripada segi syarak. Dengan ini, maka dengan sendirinya jika seseorang itu cuba untuk melakukan pertukaran jantina, perbuatan itu adalah haram dan boleh dikenakan tindakan kerana melanggar fatwa yang telah diwartakan. [Seksyen 12 AKJSWP 1997]

Isu-isu dan konflik

Mohamad Ismail Bin Hj Mohd Yunus dalam penulisan beliau bertajuk “Gender Reassignment: A Legal Perspective on Rape” cuba membincangkan tentang isu berkaitan jenayah rogol dan statusnya apabila melibatkan golongan transeksual yang telah melakukan pembedahan pertukaran jantina. Di Malaysia, jenayah rogol diperuntukkan di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan iaitu rogol boleh dilakukan oleh seorang lelaki terhadap seorang perempuan, mesti wujud unsur ketidakrelaan dan perlu ada kemasukan alat kelamin lelaki ke dalam faraj wanita.[ (2000) 4 MLJA 174 ]

 

Persoalan kini ialah sekiranya jenayah rogol itu dilakukan terhadap seorang yang transeksual, adakah ia boleh dianggap satu kesalahan dan sabitan boleh dikenakan? Misalnya sekiranya seorang lelaki merogol seorang transeksual yang disangka seorang perempuan, sudah tentu lelaki itu tidak boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 375 kerana keperluan seksyen tersebut ialah persetubuhan antara seorang lelaki dan perempuan tanpa kerelaan perempuan itu sedangkan dalam kes ini, transeksual bukanlah perempuan yang sebenar.

Di samping itu, terdapat beberapa isu yang memerlukan perbincangan teliti berkaitan status transeksual ini. Seperti mana yang telah dijelaskan penulis, meskipun fatwa menjelaskan bahawa status transeksual adalah haram menurut Islam, namun bagaimana pula sekiranya pertukaran jantina itu masih tetap dilakukan. Apakah status seorang lelaki (transeksual) itu? Adakah dia tetap lelaki walaupun perbuatan itu haram atau adakah dia seorang perempuan?

Ini penting kerana jika dia (selepas pertukaran jantina) ditangkap berkhalwat dengan seorang lelaki, bolehkah ia disabitkan dengan kesalahan itu sedangkan dia bukan perempuan yang asli. Masalah ini mungkin lebih mudah diputuskan sekiranya dia tidak melakukan pertukaran jantina dan hanya berpakaian perempuan. Namun persoalan kini ialah jika dia telahpun melakukan pertukaran jantina. Malah ini ditambah sekiranya nama pada kad pengenalannya juga telah ditukar kepada nama yang lebih ‘perempuan’.

 

Penyelesaian

Apa yang jelas di sini ialah konflik-konflik sebegini perlulah diambil perhatian serius. Ini kerana, sehingga kini Malaysia tidak mempunyai dasar yang jelas berkaitan status transeksual. Penulis berpandangan beberapa perkara penting perlu diteliti dalam menyelesaikan isu ini. Pertama kerajaan perlulah membuat dasar khusus bagi memutuskan dari segi jantina status mereka yang telah melakukan pertukaran jantina. Meskipun adalah jelas Malaysia melarang perbuatan pertukaran jantina dilakukan di Malaysia, namun pembedahan tersebut masih boleh dilakukan di negara-negara lain.

Kedua, perlunya dibuat satu peruntukan khusus bagi mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang melakukan pembedahan pertukaran jantina. Seperti mana dijelaskan sebelum ini, pertukaran jantina masih boleh dilakukan di negara-negara lain. Ketiga, kerajaan perlu tegas bagi memastikan bahawa sebarang pertukaran nama yang menimbulkan kekeliruan jantina dihentikan. Ini kerana, ia boleh memberi satu kelebihan kepada golongan transeksual untuk menukar nama asal mereka kepada nama yang sesuai dengan ‘jantina’ baru mereka. Keempat, status perkahwinan golongan transeksual ini perlulah tidak diiktiraf oleh undang-undang di Malaysia. Ini bertujuan untuk mengelakkan wujudnya perkahwinan sejenis seperti kes nikah sejenis yang pernah berlaku di Melaka.

Secara ringkas, oleh sebab dasar serta perundangan Malaysia masih kurang jelas berkaitan isu transeksual ini, maka suatu tindakan yang konkrit perlulah dilaksanakan. Dalam hal ini, adalah penting digubal peruntukan khusus bagi menjelaskan status sebenar transeksual. Adalah amat malang sekiranya golongan transeksual ini diberi perlindungan di Malaysia untuk menukar jantina dan mempunyai status jantina yang berlainan dengan jantina asal mereka. Ini boleh memberi kesan besar khususnya kepada masyarakat Islam kerana ia akan melibatkan soal perkahwinan, urusan perwalian, pembahagian harta pusaka dan sebagainya.