faq2  hubungi2 maklumbalas2  peta2

Mahkamah Rendah Syariah

ENAKMEN 2
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI PULAU PINANG) 2004

BAHAGIAN IV - MAHKAMAH SYARIAH


Seksyen 62. Bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah

(1) Sesuatu Mahkamah Rendah Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Pulau Pinang dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Rendah.

(2) Mahkamah Rendah Syariah hendaklah—

(a) Dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam di bawah Enakmen ini, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang baginya hukuman yang diperuntukkan oleh Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis itu tidak melebihi tiga ribu ringgit, atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu; dan

(b) Dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi seratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta sepencarian).

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh dari semasa ke semasa melalui perintah yang disiarkan dalam Warta memperluaskan bidang kuasa mal Mahkamah Rendah Syariah.