faq2  hubungi2 maklumbalas2  peta2

Undang-undang Islam perlu semakan semula

UNDANG-UNDANG Islam di negara kita telah melalui perjalanan dan pengalaman yang sangat panjang dan luas.

Apabila negara kita dijajah, terutamanya oleh pihak Inggeris, undang-undang negara mengalami perubahan yang sangat ketara iaitu dari aspek kerangka, teknikal dan substantifnya. Di sinilah bermulanya sistem dualisme dalam perundangan negara yang mengandungi undang-undang Islam dan undang-undang sivil.

Oleh yang demikian, janganlah kita berasa terkejut apabila Undang-Undang Prosedur Jenayah Syariah dan Undang- Undang Keterangan Islam yang digubal selepas 1991, masih menggunakan kerangka undang-undang penjajah.

Walaupun demikian, undang-undang Islam ini telah melalui proses penapisan supaya menepati hukum syarak. Dan kesemua undang-undang Islam yang ada telah meletakkan rujukan muktamad kepada hukum syarak sebagai pengiktirafan terhadap kedaulatannya.

Dari aspek teknikal dan prosedur, hakikatnya banyak juga yang dapat kita pelajari daripada undang-undang Inggeris. Contohnya pendaftaran perkahwinan dan perceraian orang Islam dimulakan oleh pihak Inggeris. Pengajaran yang boleh kita peroleh, sekiranya terdapat kebaikan yang boleh diambil wajarlah ia diteruskan tanpa mengira daripada pihak mana ia dicetuskan.

Sehubungan itu, undang-undang Islam versi penjajah yang menjadi rujukan kadi-kadi (istilah kini ialah hakim syarie) dan pengamal undang-undang, pada mulanya adalah dalam bentuk yang tunggal. Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam merupakan satu-satunya undang-undang yang menjadi rujukan umat Islam dalam bentuknya yang ringkas tetapi agak menyeluruh.

Kemudian pada tahun-tahun 1970-an kajian diusahakan bagi memecahkan sifat tunggal undang-undang Islam yang ada. Tokoh pembaharu undang-undang Islam, Allahyarham Profesor Ahmad Ibrahim bersama Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah berusaha dengan giat bagi proses pemecahan tersebut.

Rantaian daripada itu, maka pada sekitar 1980-an negeri-negeri di Malaysia mula menggubal dan mewarta undang-undang yang lebih khusus dan terperinci sifatnya; lahirlah yang dinamakan Akta/Enakmen/Ordinan (menurut pemakaian istilah bagi negeri di Semenanjung, Wilayah Persekutuan atau Sabah dan Sarawak) Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Prosedur Jenayah Syariah, Undang-Undang Acara Mal, Pentadbiran Undang- Undang Islam, Undang-Undang Keterangan Islam, Undang-Undang Jenayah Syariah dan sebagainya.

Setakat ini antara undang-undang Islam yang mutakhir dilahirkan ialah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003 yang memansuhkan Enakmen 1991.

Dengan keadaan bahawa undang- undang Islam adalah milik negeri, maka penggubalan undang-undang sebegini sebenarnya merupakan kejayaan yang sangat membanggakan kepada umat Islam di Malaysia. Pelbagai rintangan dihadapi bagi memastikan semua negeri memiliki undang-undang yang mempunyai kandungan peruntukan yang agak seragam.

Selain itu, kejayaan umat Islam di Malaysia juga apabila undang-undang yang berkaitan dengan muamalat dan kehartaan orang Islam seperti wakaf, wasiat, undang-undang perbankan serta takaful berjaya diubah suai daripada bentuknya yang bersifat konvensional menjadi selari dan menepati kehendak syarak.

Pada kala ini, usia penggubalan undang-undang Islam dengan sifat dan bentuknya yang khusus sudah pun melewati dua dekad. Dengan perubahan yang berlaku sepanjang dua dekad ini, sudah tentu setiap bahagian undang- undang Islam amat wajar diteliti dan disemak semula bagi memastikan ia masih mampu mendepani keperluan semasa masyarakat Islam di Malaysia.

Antara persoalan yang berbangkit dalam menguji kemampuan undang-undang ini ialah apakah undang-undang Islam di negara kita telah mampu mengurus perceraian bagi sebuah perkahwinan daripada kalangan mereka yang bukan bermazhab Syafie atau Ahli Sunah umpamanya?

Adakah Undang-Undang Keterangan Islam negara kita telah mempunyai pendekatan dan prasarana yang sempurna untuk menerima keterangan-keterangan yang bersifat saintifik sebagai bukti dalam perbicaraan?

Harapan setiap orang Islam di negara kita dan seluruh dunia amnya tentulah hendak melihat undang-undang Islam dapat diletakkan di atas tempat duduknya yang sebenar.

Sudah tentu sebarang usaha demi memartabatkan hukum syarak seharusnya diberi sokongan dan galakan. Cuma pesan Al-Mawdudi, sebarang perubahan terhadap undang-undang negara seharusnya mengambil kira aspek sejarah dan kesinambungan sifat dan bentuk perundangan negara tersebut.

Kerangka perundangan yang sudah sedia ada dan kukuh pula sifatnya harus dikekalkan. Sementara yang tidak cocok dengan prinsip Syariah diubah suai atau dimansuhkan. Walaupun ia bukan hasil ijtihad yang mengikat, tetapi ia perencanaan yang sangat berhikmat.

Atas rasa tanggungjawab untuk sama-sama memperbaiki dan membangunkan Undang-Undang Islam, maka pada 1 April 2008, Institut Kefahaman Islam Malaysia akan menganjurkan “Seminar Semakan Semula Korpus Undang-Undang Islam: Antara Keperluan dan Cabaran”, yang menghimpunkan kalangan sarjana perundangan, pengamal undang-undang dan masyarakat awam yang prihatin bagi tujuan tersebut. Hasrat yang murni ini tentunya akan lebih mudah sampai sekiranya dapat disambut baik oleh setiap lapisan masyarakat Islam di Malaysia.