faq2  hubungi2 maklumbalas2  peta2

Perutusan Ketua Hakim Syarie

Image
Image

Alhamdulillah saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia, dan rahmatnya saya diberi kekuatan dan kemudahan dalam melaksanakan tugas yang baharu diamanahkan di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang(JKSNPP). Sesungguhnya amanah ini bukanlah suatu tanggungjawab yang mudah untuk dilaksanakan.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan selamat datang ke laman web rasmi JKSNPP. Laman web ini merupakan salah satu saluran perkongsian maklumat untuk memberikan penerangan mengenai fungsi jabatan, visi dan misi JKSNPP yang bertanggungjawab terhadap masyarakat awam.

Umumnya mengetahui bahawa JKSNPP berperanan untuk mentadbir hal ehwal kes-kes Mahkamah Syariah yang melibatkan orang Islam iaitu untuk mendapatkan keadilan dan pembelaan yang berlunaskan kepada peruntukan undang-undang. JKSNPP sentiasa berusaha untuk menambah baik mutu perkhidmatan kepada semua lapisan masyarakat.

Harapan saya agar semua pengunjung laman web JKSNPP dan warga jabatan dapat memanfaatkan sepenuhnya informasi serta perkhidmatan yang terdapat dalam laman web ini. Saya juga mengalu-alukan dan amat menghargai maklumbalas, cadangan dan idea yang membina untuk menambah baik laman web JKSNPP. Semoga kecemerlangan penyampaian perkhidmatan JKSNPP menepati keperluan masyarakat, memenuhi kepuasan hati anda sebagai pelanggan dan dapat membantu lebih ramai masyarakat khususnya umat Islam di negeri ini bersesuaian dengan motto "Syariah Asas Keadilan".

Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan ke arah pembangunan laman web ini. Adalah diharapkan penyampaian maklumat melalui medium laman web ini berjaya menjadi landasan penyaluran maklumat yang berkesan dan berkualiti, selari dengan pelaksanaan transformasi perkhidmatan awam untuk merakyatkan perkhidmatan yang mesra pelanggan serta bersifat inovatif.

Sekian, terima kasih, Wassalam.

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

~SYARIAH ASAS KEADILAN~

(YAA DATO' MUHAMAD ABDUL KARIM BIN WAHAB)
KETUA HAKIM SYARIE, 
JKSN Pulau Pinang.