faq2  hubungi2 maklumbalas2  peta2

Mahkamah Tinggi Syariah

ENAKMEN 4 TAHUN 2004
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI PULAU PINANG) 2004

BAHAGIAN IV - MAHKAMAH SYARIAH

Seksyen 61. Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah

(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Pulau Pinang dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

(2) Walau apa pun subseksyen (1), Ketua Hakim Syarie boleh bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan mengetuai Mahkamah itu.

(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—

  1. Dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen ini, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa yang menetapkan kesalahan-kesalahan dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu; dan

  2. Dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan—

(i) Pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri;

(ii) Apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);

(iii) Nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak-budak;

(iv) Pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

(v) Wasiat atau alang yang dibuat semasa marad-al-maut;

(vi) Alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seorang Islam;

(vii) Wakaf atau nazr;

(viii) Pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat;

(ix) Penentuan orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;

(x) Perisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;

(xi) perisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya; dan

(xii) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.