faq2  hubungi2 maklumbalas2  peta2

Kenapa seseorang tidak dibenarkan berjumpa dan mengadu dengan Hakim secara terus?

Anda tidak akan dibenarkan berjumpa dan mengadu kepada Hakim bagi mengelakkan ketidakadilan (berat sebelah). Masa untuk berjumpa hakim ialah apabila kes anda disebut/dibicarakan di dewan Mahkamah semasa Mahkamah bersidang. Sekiranya anda ada urusan berkaitan dengan perbicaraan atau kes, bolehlah berjumpa dengan pihak Pendaftar, Penolong Pendaftar atau Pembantu Pendaftar.

Kenapa Mahkamah tak bayar nafkah sedangkan perintah telah dikeluarkan?

Mahkamah hanya berkuasa mengeluarkan perintah kepada suami untuk membayar nafkah dan sebagainya. Bayaran itu akan datang dari pihak suami bukan Mahkamah. Tetapi sekiranya pihak suami tidak membayar seperti yang diperintahkan, si isteri atau anak yang berkepentingan dengan nafkah tersebut boleh memohon penguatkuasaan perintah di Mahkamah. Mahkamah akan mengeluarkan perintah penguatkuasaan dalam bentuk samada memerintahkan bayaran secara potongan gaji atau dipenjarakan dan sebagainya sepertimana yang dipohon.

Bila surat penghakiman atau perintah dikeluarkan setelah kes selesai?

Surat penghakiman atau perintah akan dikeluarkan dalam tempoh seminggu selepas kes selesai dengan permohonan. Perintah Mahkamah akan dikeluarkan apabila permohonan mengeluarkan perintah dibuat beserta bayaran yang ditetapkan. Adalah dinasihatkan kepada pihak-pihak yang berkepentingan dalam sesuatu perintah Mahkamah memohon perintah dikeluarkan segera (selepas kes selesai). Penghakiman atau Perintah bertulis Mahkamah amat penting bagi permohonan penguatkuasaan perintah.

Apakah maksud Li'an?

Jika seorang suami menuduh isterinya berzina, dia akan dikenakan hukuman qadlif, jika ia tidak dapat membuktikan tuduhan dengan membawa 4 orang saksi. Dalam keadaan ini, suami boleh menggunakan acara li'an untuk mengelakkan hukuman ke atasnya. Jika pihak-pihak kepada suatu perkahwinan telah bersumpah secara li'an mengikut Hukum Syarak di hadapan Hakim Syarie, dalam hukumannya. Hakim Syarie itu akan memerintahkan mereka farak dan dipisahkan dan tinggal berasingan selama-lamanya.

Bagaimana seseorang boleh memohon Fasakh?

Fasakh ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Di antara perkara-perkara yang mengharuskan Fasakh ialah apabila suami atau isteri :

a) Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.
b) Tidak mengadakan peruntukan nafkah isteri selama tempoh 3 bulan.
c) Telah dihukum penjara selama tempoh 3 tahun atau lebih.
d) Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama satu tahun.
e) Telah mati pucuk.
f) Telah gila selama tempoh 2 tahun.
g) Sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit.
h) Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita.
i) Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat.
j) Memaksa isteri hidup secara lucah.
k) Melupuskan harta isteri.
l) Menghalang isteri menunaikan kewajipan agama.
m) Tidak berlaku adil kepad isteri-isterinya mengikut Hukum Syarak.
n) Tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun 4 bulan telah berkahwin.
o) Dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf Hukum Syarak.