
1. Pendahuluan
Panduan ringkas ini dikeluarkan bagi menerangkan secara ringkas berkenaan konsep pelaksanaan sulh yang telah diperkenalkan di dalam Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri melalui Kaedah Sulh Mahkamah Syariah.
2. Pengertian Sulh
Al-Sulh di dalam bahasa Arab bererti `putus pertengkaran’ yang membawa maksud kompromi manakala pengertian syarak membawa maksud suatu perjanjian yang dimeterai bagi menyelesaikan perselisihan / pertikaian di antara pihak-pihak yang beragama Islam. Di dalam amalan perundangan sivil ianya disebut mediation. Dengan kata lain, para ulama fiqh mentakrifkan al-Sulh sebagai satu ikatan perjanjian atau kontrak bersama untuk mencapai kompromi perdamaian antara dua atau lebih pihak yang berselisih faham / bertikai. Amalan sulh juga telah diamalkan di dalam bidang mu’amalat Islam.
3. Al-Sulh Dari Sudut Perundangan ISLAM
[Ayat 128 Surah an-Nisa’ ]
Manakala di dalam al-Sunnah sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
"Perdamaian ( sulh ) atau kompromi adalah perkara harus antara orang-orang Islam, kecuali sulh untuk menghalalkan perkara haram atau mengharamkan perkara halal. “
Hadith riwayat Ibn Hibban.
Dalam Ijma’, para ulama sepakat memperundangkan sulh ini memandangkan kebanyakan kontrak ada faedahnya termasuklah menyelesaikan perselisihan dan pertelingkahan suami isteri.
4. Tatacara Pelaksanaan Sulh Di Mahkamah Syariah
Pelaksanaan prosiding sulh bermula apabila Mahkamah menerima setiap permohonan di bawah bidangkuasa mal seperti permohonan cerai atau sesuatu tuntutan akibat perceraian seperti nafkah eddah, nafkah anak dan hak jagaan anak di antara pihak suami dan isteri atau golongan yang mempunyai pertalian sekitarnya.
Menurut Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) 2002 Mahkamah Syariah , beberapa prosedur akan dijalankan oleh pihak Ketua Pendaftar / Pendaftar Mahkamah Syariah terhadap pihak-pihak yang baru mendaftarkan permohonan / tuntutan kes.