BENGKEL FARAID
KHAMIS, 03 SEPTEMBER 2020 – Permohonan Faraid merupakan salah satu kategori kes yang sering diajukan persoalannya oleh orang awam. Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah Syariah berbidang kuasa untuk menyelesaikan tuntutan - tuntutan faraid yang diajukan berdasarkan nilai harta atau kedudukan kes yang dipohon.
Justeru itu, baru - baru ini seramai 34 orang pegawai yang terdiri daripada Ketua Pendaftar, 3 orang Hakim Mahkamah Tinggi, 6 orang Hakim MRS, 2 orang Pengarah Bahagian, 5 orang Pegawai Sulh, 7 orang Penolong Pendaftar, 4 orang Pembantu Syariah dan 2 orang Urusetia telah menhadiri Bengkel Faraid yang dianjurkan oleh Unit Latihan JKSNPP pada 03 hingga 04 September 2020. Bengkel selama 2 hari 1 malam bertempat di Hotel Berjaya, Pulau Pinang telah berlangsung dalam suasana yang cukup produktif.
Penceramah Bengkel, Tuan Haji Wan Abdul Halim bin Wan Harun yang telah diterbangkan khas dari Terengganu telah menurunkan ilmu-ilmu berkaitan pengiraan Faraid kepada para peserta bengkel. Ketua Hakim Syarie, YAA Muhamad Abdul Karim bin Wahab juga telah sudi melapangkan masa untuk mengikuti bengkel dari awal sehingga akhir. Beliau berharap dengan adanya bengkel tersebut, kes-kes faraid terutamanya "munasyaqah" dapat diselesaikan dengan lebih baik di masa akan datang. Antara perkara yang dibincangkan di dalam bengkel tersebut adalah isu - isu berkaitan faraid yang sering ditimbulkan di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah.
Isu - isu yang dibincangkan telah dijawab dan dikupas dengan baik oleh Puan Ketua Pendaftar, Puan Hasniah binti Hassan. Melalui bengkel tersebut, para pegawai telah diajar mengenai rumus pengiraan faraid berlapis oleh penceramah. Rasullullah SAW pernah bersabda tentang pentingnya umat Islam mempelajari ilmu Faraid. "Pelajarilah ilmu Faraid, dan ajarkanlah ia kepada orang lain. Sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu, ia adalah ilmu yang akan dilupakan dan ia merupakan suatu ilmu yang mula-mula akan dicabut daripada umatku"(Riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a)