SEMINAR FARAID NEGERI PULAU PINANG
SELASA, 23 JULAI 2019 – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia(Pulau Pinang) dan Jawatankuasa Peguam Pulau Pinang telah menganjurkan Seminar Farid Negeri Pulau Pinang yang telah diadakan di Dewan Serbaguna, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang.
Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Negeri Pulau Pinang, Y.B. Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin Bin Abdul Rahman. Program ini diadakan bertujuan untuk mendedahkan dan menambahkan pengetahuan dikalangan peguam syarie khususnya bagi beramal di Negeri Pulau Pinang berkaitan dengan kepentingan perlaksanaan faraid dalam pembahagian harta pusaka orang Islam menurut peruntukan undang-undang dan hukum syarak.
Program tersebut dibahagikan kepada dua slot iaitu slot pertama ialah ceramah yang bertajuk "Faraid dan Perlaksanaannya" yang telah disampaikan oleh penceramah yang telah dijemput khas iaitu Tuan Haji Wan Abdul Halim Bin W Harun. Beliau merupakan penceramah yang mempunyai pengalaman yang luas serta mempunyai kepakaran dalam bidang pengiraan faraid. Manakala bagi slot kedua pula ialah forum yang telah dikendalikan oleh Ketua Pendaftar JKSNPP, Puan Hasniah binti Hassan selaku moderator dan tiga orang ahli panel yang juga dijemput khas bagi mengupas isu - isu berkaitan faraid serta pembahagian harta pusaka. Ahli - ahli panel tersebut ialah Tuan Muhammad Muhaizan Bin Abdullah dari Jabatan Ketua Pengara Tanah dan Galian, Putrajaya, seterusnya Datin Hajjah Nor Shafinaz Nulawadin dari Amanah Raya Berhad dan Puan Arni Nadirah Binti Abdul Hadi dari Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang.
Program yang mensasarkan Peguam Syarie khususnya bagi yang beramal di Negeri Pulau Pinang adalah untuk memberikan informasi dan pendedahan berkaitan proses penyediaan permohonan kes faraid dan prosedur berkaitan menurut kehendak dan peruntukan sepertimana yang telah ditetapkan di Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang. Selain itu, program ini juga boleh dijadikan sebagai platform interaktif bersama Peguam Syarie Negeri Pulau Pinang bagi membincangkan isu - isu faraid dan perwarisan yang melibatkan peranan memeka secara langsung atau tidak langsung dan juga sebagai agen penghubung antara institusi kehakiman dan masyarakat khususnya dalam bidang pembahagian harta pusaka dan faraid termasuk dengan agensi kerajaan yang telah dijemput hadir bagi merungkai permasalahan dan kemusykilan berkaitan dengan faraid dan pembahagian harta pusaka ini.