MAJLIS PEMBUKAAN TAHUN PERUNDANGAN SYARIAH 2018 PULAU PINANG
JUMAAT, 2 MAC 2018 – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang (JKSNPP) mengadakan Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Syariah 2018 bertemakan 'Masyarakat Dibela, Syariah Terpelihara' di Kompleks Kehakiman Syariah Pulau Pinang, Jalan Batu Gantung.
Majlis yang menghimpunkan semua pegawai mahkamah yang terdiri daripada Hakim Syarie, Pendakwa Syarie, Pendaftar, Pembantu dan Peguam Syarie berdaftar di Pulau Pinang merupakan acara penting dalam kalendar kehakiman syariah Pulau Pinang. Ketua Hakim Syarie JKSNPP, Y.A.A. Mohamad Shakir Abdul Hamid berkata, Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Syariah ini merupakan kali kedua diadakan yang mana kali pertama dianjurkan pada 25 Mac 2016.
Acara ini merupakan acara penting dalam menyampaikan hasrat dan harapan kepada semua pihak termasuk memberikan pandangan dan ulasan terhadap perkembangan sistem perundangan syariah di Pulau Pinang. Pada tahun ini, saya menetapkan dan menggariskan enam hala tuju dan syariah dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan dan pemartabatan perundangan syariah dapat dilaksanakan oleh warga kerja JKSNPP.
Antaranya, meningkatkan kecekapan warga kerja JKSNPP, mewujudkan budaya kreativiti dan inovasi, menjalinkan kerjasama erat dengan pihka-pihak berkepentingan, meningkatkan kefahaman kepada masyarakat, mengadakan pengukuran prestasi pegawai mahkamah berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) dan mewujudkan kaedah-kaedah penambahbaikan di mahkamah," ujarnya ketika prosiding majlis berkaitan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato' Anas Ahmad Zakie; Mufti Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato' Wan Salim Wan Mohd. Noor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Dato' Sazali Hussein. Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Y.A.A. Datuk Mukhyuddin Ibrahim antara tetamu kenamaan yang hadir pada majlis tersebut.
Dalam majlis sama, Mohamad Shakir turut mengumumkan bahawa empat jabatan di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mendapat pengiktirafan 5 Bintang Pematuhan Arahan Amalah Mahkamah Syariah. Selain itu, beliau turut mengumumkan pelantikan dua hakim rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang iaitu Y.A. Prof. Adjung Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar dan Y.A. Saarani Ismail setelah mendapat perkenan Yang diPertuan Agong. Dengan pelantikan tersebut maka, semua jawatan kehakiman di JKSNPP telah terisi," katanya yang turut mengumumkan pembukaan Bilik Peguam baharu di sini bagi keselesaan peguam syarie bertemu klien.