PENGISYTIHARAN PEGUAM SYARIE NEGERI PULAU PINANG 2021 SECARA ATAS TALIAN
KHAMIS, 18 FEBRUARI 2021 – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang(JKSNPP) hari ini telah mengendalikan prosiding pengisytiharan Peguam Syarie bagi Tahun 2021 secara atas talian.
Uniknya, prosiding pengisytiharan Peguam Syarie kali ini dijalankan secara atas talian selaras dengan peruntukan Kaedah - kaedah Tatacara Mal Mahkamah Rendah Syariah (Perjalanan Mahkamah Syariah Melalui Teknologi Komunikasi Jarak Jauh) (Negeri Pulau Pinang) 2021 yang baharu sahaja diwartakan dan telah berkuatkuasa awal Februari yang lalu. Pengisytiharan ini telah berlangsung di hadapan Yang Amat Arif Dato' Muhamad Abdul KArim bin Wahab, Ketua Hakim Syarie Negeri Pulau Pinang dan Yang Amat Arif Mohd Zawawi bin Noor, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Pulau Pinang. Turut hadir dalam prosiding ini wakil Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Pulau Pinang iaitu Puan Hasniah binti Hassan, Ketua Pendaftar JKSNPP, Tuan Muhammad Zamri bin Roslan, Ketua Pendakwa Syarie, dan Puan Naizatul Zima binti Tajudin wakil Yang Berhormat Dato' Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang.
Seramai 34 orang calon baharu Peguam Syarie Negeri Pulau Pinang telah diberikan kebenaran untukk berguam di Negeri Pulau Pinang. Semua calon Peguam Syarie yang memohon untuk diterima masuk sebagai peguam telah dinilai oleh jawatankuasa yang telah dilantik. Peguam- peguam baharu bersama mover masing- masing yang mewakili peguam berinteraksi secara atas talian dengan menggunakan aplikasi Cisco Webex. Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Pulau Pinang sebelum ini telah memberikan pengecualian kehadiran fizikal kepada semua peguam yang terlibat.
Seusai prosiding, Yang Amat Arif Dato' Muhamad Abdul Karim bin Wahab mengambil kesempatan memberikan nasihat kepada semua Peguam Syarie baharu supaya sentiasa menjaga tahap profesionalisme yang tinggi dan beretika sebagai Peguam Syarie ini serta memberikan perkhidmatan guaman yang terbaik, amanah dan berkesan kepada pelanggan. Beliau mengingatkan bahawa sebagai Peguam Syarie, prinsip - prinsip dan falsafah keadilan dalam perundangan syariah hendaklah dihayati dan diamalkan sepanjang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam kehidupan bersesuaian dengan slogan "Syariah Asas Keadilan".
