PERHIMPUNAN BULANAN BIL 2 2019 DAN MAJLIS IFTAR 1440H
JUMAAT, 24 MEI 2019 – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang telah mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan Bil 2 bagi tahun 2019 dan Majlis Iftar Jamai'e 1440H dengan kerjasama Badan Kebajikan dan Sukan JKSNPP(BAKEEP) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia(Pulau Pinang) yang telah diadakan di Mahkamah Rendah Syariah Seberang Perai Utara.

YAA Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang telah menyampaikan amanat beliau dalam majlis berkenaan dengan menekankan kepentingan semangat kerjasama diantara semua kakitangan dalam menjalankan tugas seharian bagi menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat. Di dalam majlis tersebut juga telah diadakan Majlis Jasamu Dikenang yang diadakan khusus bagi pegawai-pegawai yang akan dan telah bertukar ke jabatan atau agensi yang lain dan seramai lima orang kakitangan diraikan dalam sesi tersebut. Selain itu, turut diadakan Majlis Anugerah Cemerlang serta penyampaian sumbangan kepada warga JKSNPP yang terlibat oleh BAKEEP.

Selesai Majlis Perhimpunan pada jam 5.30 petang, majlis diteruskan lagi dengan tazkirah perdana yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Hanif Azmir Bin Hassim dan diteruskan lagi dengan Majlis Khatam Al-Quran dan Tahlil serta Majlis berbuka puasa bersama seluruh warga JKSNPP serta keluarga dan menunaikan Solat Maghrib berjamaah. Usai Solat Maghrib,maka tibalah masa yang ditunggu - tunggu oleh kanak - kanak yang hadir pada majlis tersebut iaitu sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang terdiri daripada anak - anak warga kerja JKSNPP yang hadir pada majlis tersebut yang telah disampaikan oleh YAA Ketua Hakim Syarie Negeri Pulau Pinang. Kemudian diteruskan lagi dengan Solat Isyak dan Sunat Terawih berjemaah. Keseluruhan perjalanan majlis selesai pada jam 10.30 malam selepas jamuan moreh iaitu kambing bakar.